TUGAS MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH

12.1.09

Salah satu tugas manusia di atas muka bumi ini ialah memikul tanggungjawab sebagai Khalifah sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Al-An’am: 165 yang bermaksud, “Dan Dialah (ALLAH) yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu dari yang lain beberapa darjat kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu.” Khalifah Allah membawa kita kepada satu maksud iaitu tugas manusia sebagai pengganti ALLAH dalam melaksana tugas dan mentadbir di muka bumi ini. Menurut Syahid Syed Qutb, tugas manusia sebagai khalifah ialah mengurus dan mentadbir bumi bertepatan dengan iradah ALLAH. Manusia diberi keizinan mengguna dan meneroka alam bagi membangun tamadun.


KEPIMPINAN BERMULA DALAM DIRI SENDIRI




Dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang khalifah dimuka bumi ini, adalah penting bagi kita mendahuluinya dengan pembinaan sifat seorang pemimpin dalam diri kita sendiri. Bangunkan kualiti diri kita sebagai satu aset yang besar. Jadikan diri kita seorang pemimpin yang baik, yang mempunyai akhlak yang indah lagi terpuji, berkemampuan dalam melaksanakan amanah dan paling utama sekali mempunyai nilai-nilai takwa.

Rasulullah SAW membuat satu kenyataan yang wajib kita semua yang bergelar pemimpin untuk hayati . Sabda Baginda:
“Akan datang selepasku para pemimpin yang meninggalkan(menangguhkan) solat dari waktunya.” (riwayat Imam Ahmad). Di sini Rasulullah menekankan kepada kita dalam membentuk sifat takwa dalam diri dan ia dimulai dengan solat.

Pembinaan takwa dalam diri mampu mendidik jiwa sekaligus meyuburkan rasa kehambaan yang menjadikan kita taat, akur, tunduk dan patuh terhadap Pencipta. Bagaimana kita mampu menjadi seorang pemimpin yang baik sekiranya kita terpisah jauh dari petunjuk, pimpinan, rahmat dan pemeliharaan ALLAH?


DIPIMPIN UNTUK MEMIMPIN.

Apabila pembinaan kualiti diri sebagai pemimpin diri telah kita dirikan, hubungan sosial sesama manusia juga perlu ditingkatkan. Ini penting kerana setiap seorang di antara kita pasti akan bergelar pemimpin dalam satu komuniti manusia. Jika tidak sebagai pemimpin masyarakat, sekurang-kurangnya kita bakal bergelar pemimpin dalam rumahtangga.

Apabila seorang ketua menunjukkan kewibawaan yang ada dalam dirinya, maka orang ada di bawah pimpinannya bersedia untuk diterajui oleh pemimpin tadi. Pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang memberi kesan kepada kehidupan orang yang dipimpinnya, kejayaan mereka dalam hidup dan berjaya membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang hasil pengaruh dirinya ke atas mereka yang dipimpin.
Semua ini dapat kita lihat dalam diri ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak dimana mereka mampu memotivasi diri anak-anak untuk meraih kecemerlangan dalam pelajaran, kejayaan dalam hidup tanpa sedikit pun menghakis nilai-nilai murni dalam diri anak tersebut.

Sebaliknya berlaku apabila kepimpinan yang lemah kita terapkan. Kepimpinan yang paling lemah bergantung pada kuasa. Pemimpin jenis ini menggunakan kuasa mereka untuk mengawal orang yang dipimpin tanpa berusaha meningkatkan kualiti pemimpin dalam diri. Apabila tiada kewibawaan memimpin, maka orang yang dipimpin akan hilang rasa hormat ke atasnya. Lebih buruk lagi sekiranya wujud pemberontakan dalam diri mereka yang dipimpin.
Pemimpin yang berpengaruh itulah yang menguasai tetapi pemimpin yang berkuasa belum tentu berjaya mempengaruhi!


USWATUN HASANAH

Bila kita menceritakan tentang kepimpinan, seharusnya kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Kejayaan Rasulullah sebagai seorang pemimpin memang tidak dapat disangkal lagi. Ini semua disebabkan kekuatan peribadi dan kepimpinan yang terbentuk hasil petunjuk secara langsung dari ALLAH SWT.

Firman ALLAH dalam surah Al-Qalam: 4,
“Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” Rasulullah SAW mempunyai peribadi yang sangat mulia. Sebelum kenabian lagi, baginda telah bergelar Al-Amin. Suatu gelaran yang melambangkan kebenaran dan kesempurnaan.

Ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajarul Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya menemui seorang anak muda yang tidak berjawatan ketua TETAPI mempunyai kualiti seorang ketua iaitu Muhammad SAW. Biarpun tanpa jawatan dan kedudukan, pengaruh baginda sudah terserlah disebabkan kualiti yang ada dalam diri baginda.


Gelaran Al-Amin bukan sahaja diakui oleh penganut agama Islam bahkan dikalangan musuh Islam. Mereka menolak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah tetapi tidak menolak kepimpinan baginda. Baginda ditawarkan pangkat, kemewahan, dan kekayaan asalkan meninggalkan tugas berdakwah.

Ini jelas membuktikan betapa hebatnya peribadi dan kepimpinan Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, seluruh pengkaji peradaban bangsa dan kepimpinan tidak menemui individu lain yang lebih hebat daripada kemampuan Rasulullah dalam membentuk masyarakat sempurna meliputi akhlak, pekerti dan cara hidup.

0 KOMENAN: