Makanan merupakan keperluan asas dalam hidup setiap manusia. Tahap kesedaran mengenai pengaruh makanan terhadap pertumbuhan dan kesihatan tubuh manusia memang tinggi. Badan yang sihat sering dikaitkan dengan pemakanan yang berzat dan seimbang. Namun, masih ramai di antara kita yang masih kurang kesedaran terhadap pengaruh makanan yang halal terhadap rohani manusia.
Islam yang sempurna sifatnya mengambil berat soal pemakanan. Sebagai umat Islam, kita bukan sahaja disuruh makan makanan yang berzat, baik dan seimbang tetapi juga hendaklah halal. Ia hendaklah halal dari segi bentuk fizikal mahupun sumber perolehannya. Banyak firman ALLAH berhubung perkara ini.
"Makanlah olehmu makanan yang baik-baik (halal) dan kerjalah amal yang soleh." (Surah Al-Mukminun:51). "Janganlah kamu makan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan kebatilan (jalan tidak betul)." (Surah Al-Baqarah:188).
Makanan memberi kesan ke atas jiwa manusia. Tujuan menjaga makan dan minum adalah untuk memelihara kesucian agama, kemuliaan akal, dan kemurniaan keturunan seseorang. Penting sekali persoalan halal dan haram dalam makanan dan minuman diberi perhatian memandangkan kesannya dalam kehidupan. Pengaruh paling besar ialah pada hati dan dari situ ia mempengaruhi kehidupan.
Baik buruk tingkah laku manusia ada kaitan dengan hati. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh badan. Jika ia rosak, maka rosak binasalah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hati yang baik ialah hati yang sentiasa mematuhi perintah ALLAH dan menjauhi laranganNYA, juga menghindar dari perkara yang syubhat kerana takut terjatuh kepada yang haram. Hati yang demikian mempengaruhi semua pancaindera badan yang sentiasa terarah kepada kebaikan dan terhindar dari kejahatan.
Hati yang rosak akan dipengaruhi sepenuhnya oleh hawa nafsu dan syahwat yang jahat sehingga perintah dan larangan ALLAH tidak lagi dipedulikan. Maka rosaklah sekalian tubuh kerana menurut hati yang rosak.
Makanan yang halal ada kaitan dengan terang dan gelapnya hati. Begitu juga dengan lembut dan kerasnya hati. Demikian juga dengan kuat atau lemahnya daya ingatan. semua ini ada kaitan dengan suasana hati sama ada tenang, lapang, sempit atau resah gelisah.
Makanan yang halal ada kaitan dengan kalah menang dalam usaha mujahadah melawan nafsu dan syaitan. Muhajadah merupakan kerja hati. Kekuatannya melawan nafsu dan syaitan dipengaruhi oleh makan dan minum. Maka, kegagalan dalam mendidik dan memperbaiki diri dan keluarga ada kaitan dengan sumber rezeki dan makanan minuman diambil.
Selain itu, makanan dan minuman yang halal ada kaitan dengan kecenderungan hati dan keinginan diri kepada kebenaran dan kebaikan. Sebaliknya, rezeki yang haram itu membuatkan seseorang cenderung hati dan akalnya kepada kejahatan. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 168, "Wahai orang-orang yang beriman,makanlah yang halal dan baik-baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata."
Makanan minuman sebenarnya ada kaitan dengan pedoman dan petunjuk dari ALLAH SWT. Ini kerana hidayah dan taufik itu jatuh dalam hati. Bagaimana hati yang keras dan gelap akibat makan dari yang haram mendapat petunjuk dan hidayah dari ALLAH? Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-An'am ayat 125 yang bermaksud, "Barang siapa ALLAH kehendaki akan memberinya kebaikan nescaya DIA akan jadikan dadanya lapang menerima Islam. Dan barang siapa dikehendaki ALLAH kesesatan, nescaya ALLAH jadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang daki ke langit."
Seharusnya kita berhati-hati terhadap apa yang hendak dimakan dan diminum kerana ia memberi pengaruh dan kesan yang besar kepada hati. Jika termakan makanan yang haram walaupun tidak sengaja, kesan buruk kepada hati tetap berlaku. Oleh itu, ambil beratlah soal pemakanan kita demi menjaga kesucian agama, kemuliaan akal, kesejahteraan nyawa, keselamatan harta dan kemurniaan keturunan kita.
0 KOMENAN:
Post a Comment